Jumaat, 26 Februari 2010

Jualan Produk Kraftangan Cecah 1.3 Juta


KUALA LUMPUR - Jualan pelbagai produk kraftangan Malaysia di Festival Kraf di sini mencecah angka yang menggalakkan iaitu RM1.3 juta, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.


Beliau berkata ini menunjukkan kewujudan satu trend baru iaitu permintaan untuk artifak kraf di Malaysia telah meningkat.


"Kami mengunjurkan dalam tempoh lebih kurang dua minggu, penjualan akan terus meningkat dan ini akan menjadi cerminan kepada kejayaan industri kraf di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak melawat festival tersebut di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.


Menurut Rais antara tarikan pengunjung ke festival yang bermula Rabu lepas, adalah tekstil berkaitan batik, ukiran kayu, seramik dan hasil rimba.


Bersesuaian dengan tema festival iaitu Kraf Inovatif dan Kreatif, Rais berkata pada kali ini, terdapat banyak hiasan baru yang menggunakan 'computer added development' (cad) dan beliau yakin lebih banyak ciptaan baru yang bermutu tinggi akan muncul pada masa akan datang.


Rais juga berkata sambutan daripada kedutaan asing di negara ini amat menggalakkan dan beliau dimaklumkan hampir semua kedutaan telah menghantar wakil untuk menilai produk-produk yang dipamerkan.


"Kedutaan-kedutaan luar datang... dan mereka telah memberi komitmen untuk datang dan membeli-belah, termasuk membeli artifak yang ada dalam simpanan galeri Kraftangan Malaysia," katanya.


Ditanya mengenai pandangan Perdana Menteri dalam lawatan tersebut, kata Rais: "Perdana Menteri berkata kali ini jumlah pameran adalah lebih dan seni ukiran kayu juga menarik perhatian beliau selain bahan-bahan daripada seramik.


"Malah beliau sendiri banyak juga membeli barang-barang untuk perhiasan Seri Perdana dan koleksi beliau sendiri," kata Rais. - BERNAMA



Ahad, 14 Februari 2010

Selamat Tahun baru Cina 2010


"Kepada pengunjung blog, kru mengambil kesempatan mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada semua pembaca dan rakan berketurunan Cina berharap Tahun Harimau ini akan membawa keamanan dan keadilan kepada semua warga di negara tercinta ini…”

Jumaat, 5 Februari 2010

Rekaan Terbaru Fesyen Batik 1Malaysia Dipertontonkan




Model gayakan baju batik 1Malaysia

SEBAHAGIAN daripada model-model yang memperaga baju batik 1Malaysia kepada Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, 3 Februari. - Utusan/HANAFI KHAMIS