Sabtu, 9 Januari 2010

Pengukir perahu tambang


KUCHING, SARAWAK – Berbekalkan tekad menceburi bidang baru dan kesungguhan untuk menjayakannya, sepasang suami isteri dari Kampung Bintawa Tengah di sini, kini mula dikenali ramai menerusi ukiran yang mereka usahakan.

Pasangan berkenaan menjadikan ukiran perahu tambang Sarawak sebagai kraf tangan untuk ditawarkan kepada para pelanggan dan ternyata pilihan mereka itu tidak sia-sia.

Meskipun baru berjinak-jinak dengan bidang ukiran perahu tambang Sarawak itu sejak setahun lalu, usaha mereka membuahkan hasil apabila hiasan tersebut mendapat perhatian pelancong domestik dan antarabangsa.

Pada mulanya bidang tersebut hanya dijadikan sebagai kerjaya sambilan bagi mengisi masa lapang tetapi melihatkan ukiran tersebut berpotensi, mereka mula mengusahakannya secara sepenuh masa.

Apatah lagi kedua-dua pasangan tersebut kini mempunyai ruang untuk memasarkan produk itu dengan menyewa premis yang disediakan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di Tebingan Kampung Gersik yang bertentangan Tebingan Kuching, tengah bandar raya ini.

“Kemahiran membuat ukiran perahu tambang ini saya pelajari daripada seorang kawan dengan sokongan suami yang turut mahir menghasilkan seni ukir.

“Pada mulanya agak sukar mempelajari ukiran ini kerana ia memerlukan ketelitian, kehalusan dan memakan masa untuk menghasilkannya tetapi berkat keazaman dan kesabaran akhirnya saya mampu membuatnya malah mula menyukai bidang ini,” kata Hamsiah Kadir, 35, kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Hamsiah dibantu oleh suaminya, Mohammad Julaihi, 39, yang masih bekerja dengan sebuah syarikat sebelum berhenti pada Februari ini.

Menurut Hamsiah, sebuah ukiran perahu tambang memerlukan tiga hingga empat hari untuk disiapkan.

“Pada mulanya saya akan membuat badan perahu termasuk mengukir bentuk dalaman seperti perahu tambang sebenar dan kemudiannya dipasang bumbung.

“Kerja-kerja di peringkat ini perlu dilakukan dengan teliti kerana jika tidak, ia akan menyebabkan keseluruhan perahu tambang akan rosak kerana ia membabitkan kerja-kerja melekat dengan gam,” ujarnya.

Bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan perahu tambang Sarawak ini adalah buluh, kayu, papan lapis, gam, pisau pemotong serta cat semburan.

Hamsiah berkata, apabila sudah siap badan perahu dan bumbungnya, maka kerja-kerja mengecat akan dilakukan mengikut warna seperti perahu tambang sebenar yang beroperasi di Sungai Sarawak.

Sementara itu menurut Mohammad, mereka telah menghasilkan kira-kira 50 hingga 60 perahu tambang dalam pelbagai saiz sejak setahun lalu.

Menurutnya, ekoran ukiran yang unik dan menarik, hasil tangan mereka berdua itu telah diberi peluang untuk mengikuti promosi kraf tangan di Tebingan Kuching pada Julai lalu.

“Perahu tambang ini dijual mengikut saiz dengan yang paling kecil pada harga RM25, sederhana (RM120 - RM150) manakala yang besar dan berkotak kaca dijual pada harga RM180 hingga RM200,” katanya.

Mohammad memberitahu, mereka sangat berharap ukiran perahu tambang akan menjadi antara ikon untuk Sarawak dan terkenal ke peringkat antarabangsa.

Katanya, dia dan isterinya berusaha meningkatkan hasil dan kualiti ukiran perahu tambang itu dan akan mengikuti promosi kraf tangan di Kuala Lumpur dan lokasi lain di dalam dan luar negara.

“Saya bercadang untuk meningkatkan lagi kualiti pembuatan ukiran perahu tambang ini dengan menggunakan kayu belian sebagai badan utama dan memasukkan lagi elemen menarik terhadap hiasan ini.

“Saya mahu ukiran perahu tambang ini tahan dan lasak supaya dapat memasuki pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Jelasnya, sebelum ini beliau mempelajari kemahiran seni ukir di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara di Jitra, Kedah.

Mohammad memberitahu, ukiran perahu tambang seumpama itu belum lagi dihasilkan oleh mana-mana pihak kecuali ukiran jenis tebuk daripada sebatang kayu namun ia tidak begitu menampakkan ciri-ciri sebenar perahu tambang. - utusansarawak@utusan.com.my

Khamis, 7 Januari 2010

Usahawan mahu promosi secara berjadual


KANGAR - Rata-rata usahawan batik dan tenun dari seluruh negara mahu program promosi batik dan tenun Perlis diadakan secara berjadual bagi merangsang pertumbuhan industri tersebut sambil menyuntik pertumbuhan ekonomi negeri.
Golongan berkenaan mahu program itu dibuat secara berjadual untuk menarik perhatian semua pihak terutama golongan muda supaya menjadi usahawan yang bermula secara kecil-kecilan.
Mereka yang ditemui mahu kerajaan Perlis lebih peka terhadap tuntutan itu kerana ia turut menjanjikan pulangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negeri ini.
Mereka adalah sebahagian daripada usahawan yang menyertai Promosi Batik dan Tenun Perlis 2009 di Kompleks Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) cawangan Perlis di sini mulai 19 hingga 23 November lepas.
Salah seorang daripadanya ialah wakil syarikat perniagaan Sutera Pulau Keladi, Pahang, Nurul Husna Ahmad, 20, yang mengadakan demonstrasi tenun Pahang di tapak pesta.
Beliau mendapati Perlis berpotensi besar untuk menjadi pusat pengumpulan hasil batik dan tenun untuk dieksport ke luar negara terutama melalui pintu masuk Padang Besar di sini ke Thailand.
"Setelah kali pertama menyertai promosi ini di Kangar, saya mendapati Perlis berpotensi besar sebagai negeri pembekal batik dan barangan tenun," ujarnya.
Usahawan kraf tangan dari Melaka, Abd. Karim Talib, 59, ternyata gembira kerana sepanjang lima hari di Perlis, beliau berjaya memasarkan produk kraf tangannya yang berasaskan gasing bernilai lebih RM2,000.
"Inilah kali pertama saya menyertai promosi batik dan tenun di Perlis, produk kraf yang dijual berharga antara RM4 dan RM120 satu. Berpandukan jualan, ia cukup membanggakan.
"Saya benar-benar berharap kerajaan Perlis akan mengadakan lagi promosi sebegini tahun depan. Kalau boleh biarlah promosi ini dibuat secara berjadual dan diiklankan lebih awal untuk menarik perhatian peminat produk batik, tenun dan kraf tangan," jelasnya.
Usahawan aksesori wanita berasaskan mutiara dari Sabah, Wahab Datu Indal, 45, merupakan salah seorang peniaga yang berjaya memasarkan produknya sepanjang promosi tersebut di Kangar baru-baru ini.
Sepanjang tempoh itu, beliau mencatatkan jualan tertinggi iaitu melebihi RM8,000.
"Tahun lalu saya cuma menghantar wakil syarikat kami iaitu Bastari Jaya ke Perlis. Rekod jualan tahun lepas cukup baik. Berpandukan rekod 2008, kali ini saya datang sendiri dan mendapati hasilnya cukup memuaskan hati.
"Bagi saya, nilai jualan kira-kira RM8,000 itu bukan satu angka yang kecil. Diharapkan program promosi seperti ini dapat diadakan tahun depan," ujar beliau yang menjadi usahawan sejak 1987.
Wabah turut memuji dan berterima kasih kepada PKKM cawangan Perlis yang menganjurkan promosi berkenaan.
"Saya bukan mahu memuji PKKM Perlis, tetapi promosi yang dianjurkan itu wajar dihargai.
Diharap tahun depan saya turut dimaklumkan lagi untuk menyertai promosi yang serupa," ujarnya.
Sementara itu promosi Batik dan Tenun Perlis 2009 yang diadakan lima hari di Kompleks Perbadanan Kemajuan Kraf-tangan Malaysia (PKKM) cawangan Perlis di sini baru-baru ini telah mencatatkan jualan luar jangka iaitu melebihi RM212,000.
Hasil jualan lima hari itu diraih oleh 47 usahawan batik dan tenun pelbagai kaum dari seluruh negara termasuk Perlis, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Sabah.
Mereka yang meraih keuntungan itu terdiri daripada 29 usahawan pengusaha batik dan tenun manakala 18 orang lain adalah usahawan pelbagai bahan kraf tangan.
PKKM Perlis gembira kerana sepanjang promosi mulai 19 hingga 23 November lalu itu ia berjaya menarik kunjungan lebih 15,000 orang penggemar batik dan tenun tempatan.
Pengarah PKKM Perlis, Adzman Suhaimi berkata, catatan jualan berkenaan telah mencipta satu rekod iaitu empat kali ganda lebih tinggi berbanding catatan jualan 2008.
"Jualan yang dicapai sepanjang lima hari itu adalah RM212,625.60. Ia ternyata lebih tinggi berbanding tahun lepas cuma RM52,625.60. Kami bangga dengan rekod jualan berkenaan.
"Setelah berpuas hati dengan nilai jualan masing-masing, para peserta turut meminta kami mengadakan promosi seperti ini dari semasa ke semasa," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Sepanjang promosi itu juga, kata beliau, penganjur menyediakan sudut interaktif kraf yang mendapat perhatian ramai bagi pengunjung yang mahu mempelajari cara membuat batik dan anyaman rotan.
Selain itu, katanya, sebahagian pengunjung menyertai permainan congkak dan gasing sambil menyaksikan pertandingan wau manakala kanak-kanak pula bersaing dalam pertandingan mewarna.
Adzman memberitahu, di tapak promosi itu juga, pihaknya mengadakan demonstrasi membuat seramik, tenun Pahang, tenun songket dan batik terap.
Sepanjang lima hari itu juga, kata beliau, di tapak promosi turut diadakan persembahan wayang gedek, nyanyian muzik asli, tarian Zapin Endau dan poco-poco, tarian kebudayaan Siam dan persembahan Ghazal Parti.
Adzman memberitahu, berdasarkan sambutan daripada para pengunjung dan usahawan terlibat, pihaknya bercadang untuk mengadakan promosi yang serupa tahun depan.
Pihaknya berharap ada pihak akan bekerjasama untuk menjayakan promosi berkenaan, terutama bagi kepentingan industri kraf tangan dan pelancongan Perlis.

Rabu, 6 Januari 2010

Nasir OKU gigih hasilkan hulu dan sarung parang



MERSING, JOHOR - Walaupun dilahirkan cacat di bahagian tangan dan kaki, namun Nasir Agil (gambar), 53, tidak pernah menyesali kekurangan dirinya.

Malah dia tidak mengharapkan belas ihsan daripada orang ramai untuk meneruskan kehidupan, sebaliknya sentiasa berusaha gigih mencari rezeki dengan membuat hulu dan sarung parang.

Dia yang masih bujang kini tinggal bersama keluarga adiknya, Ibrahim, 48, di Kampung Hubung, Endau dekat sini.

"Usia dan keadaan diri yang serba cacat ini tidak menghalang saya meneruskan hidup dan membuat kerja seperti manusia yang sempurna," katanya.

Menurutnya, sudah hampir 40 tahun dia menyara kehidupan dengan membuat hulu dan sarung parang.

Nasir yang tidak mempunyai kesemua 10 jari dan cacat kaki membuat hulu dan sarung parang dengan kedua-dua bela tapak tangannya.

Selain hulu parang, dia juga mengambil tempahan membuat hulu dan sarung keris jika ada permintaan daripada pelanggan yang terdiri daripada penduduk di sekitar Endau, Mersing dan Rompin.

Nasir memberitahu, dia mendapat bekalan kayu dari Ibam dan Rompin, Pahang dengan harga RM5 sebatang.

"Saya mengambil masa selama empat hari untuk menyiapkan satu hulu parang," katanya. - UTUSAN MALAYSIA JOHOR