Khamis, 31 Disember 2009

Selamat tahun baru 2010


Salam sejahtera kepada semua rakan blog dan sahabat taulan…
Selamat menyambut 2010 disusuli gerhana bulan yang diharap dapat dirai kedatangan tahun harimau dengan berani dan melindungi anak genarasi masa depan.
Teringat pantun dari seorang abang yang kini berada di situasi yang menguji minda dan ujianNya.
"Banyak hutan bermacam hutan, Hutan bakau di hujung tanjung, Kalau tuan nak jadi pahlawan, jadilah pahlwan yang disanjung..."
Harapan saya agar dengan alaf 21 akan ceria dengan petunjukNya dan rasulNya serta orang beriman.

Selasa, 22 Disember 2009

Sedutan Dari Akhbar


Ahmad Maslan rasmi Karnival Johor 2009

KEMERIAHAN Karnival Jualan Mega (KJM) Johor 2009 yang berakhir pada 24 Disember, mendapat sambutan hangat dari 60 orang pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di bawah bimbingan MARA dari seluruh negeri Johor.

Program ini dianjurkan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Ahmad Maslan.

Hadir sama di majlis perasmian, Pegawai Daerah Pontian, Mohamed A. Karim; Pengarah MARA Johor, Ahmad Sokirin dan Naib Ketua UMNO Bahagian Pontian, Mohd. Jahis Othman.

Jumaat, 18 Disember 2009

Mesej PM


Ruh hijrah bertepatan idea 1Malaysia: PM

Datuk Seri Najib Razak berkata semangat hijrah yang diamalkan dalam Islam sangat bertepatan dengan konsep Gagasan 1Malaysia yang merupakan kesinambungan prakarsa ke arah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Perdana Menteri berkata gagasan yang berteraskan kepada nilai murni yang berpaksikan prinsip keadilan sosial dan prinsip penerimaan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara demi kemakmuran bersama.

Dalam perutusan Maal Hijrah 1431, beliau berkata cabaran paling besar yang dihadapi sepanjang 52 tahun penubuhan Malaysia ialah membentuk perpaduan rakyat, tetapi ironinya ialah, perpaduan boleh dipupuk melebihi sempadan politik demi kepentingan negara.

"Kejayaan ini tidak datang bergolek sebaliknya memerlukan semangat hijrah yang tinggi, kesetiaan dan ketabahan.

"Kita telah melaksanakan agenda penghijrahan dalam bidang ekonomi dengan melakukan penghijrahan ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian.

"Sekarang, kita melaksanakan pula hijrah ke bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.

"Ini semua bagi menjayakan transformasi ekonomi ke arah memacu Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi secara holistik dan mapan, mengutamakan bidang inovasi dan kekal relevan dalam persaingan ekonomi global," katanya.

Najib berkata masyarakat negara ini harus berhijrah untuk sentiasa berprestasi lebih baik tanpa mengira peranan sama ada mereka pemimpin, kerajaan ataupun rakyat.

"Kita perlu mengurus kejayaan dan membina kekuatan ummah dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang telah dipupuk selama ini.

"Ingatlah lipatan sejarah yang sarat dengan catatan kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai, sehingga Malaysia kini muncul antara negara membangun paling maju, dinamik dan progresif," katanya.

Perdana Menteri berkata, formula yang mendasari kejayaan ini adalah faktor perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada konsep 'wasatiyah' (kesederhanaan) dengan menerima kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan.

"Natijahnya, walau apa pun definisi hijrah menurut perspektif kita, yang penting kita tidak boleh berkovensi dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan dan merintis inovasi baru," katanya.

Menurut Najib, semua kejayaan itu boleh digapai melalui penghijrahan nilai tambah kepada lebih berinovasi tinggi dan daripada perpaduan sesama kepada perpaduan Satu Ummah.

Perdana Menteri bekata bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah', sebuah negara yang maju dan progresif memerlukan ummah yang mempunyai potensi dan sahsiah diri yang utuh dan mapan.

"Khaira ummah dicerna melalui satu ukhuwah yang didasari oleh nilai ketamadunan dan peradaban yang tinggi.

"Keperluan mengamalkan konsep wasatiyah perlu dilaksanakan dalam usaha membangun pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai kualiti kekitaan, kepunyaan dan kebersamaan dalam memastikan objektif perpaduan Satu Ummah dapat dicapai dengan lebih berkesan," katanya.

Najib berkata konsep persaudaraan dan perpaduan yang diutuhi oleh Rasulullah pada permulaan hijrah adalah secara holistik tanpa mengira warna kulit, keturunan atau kedudukan.

"Masyarakat di Madinah waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh aman dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan perpaduan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan sosial kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan beragama Islam di bawah pemerintahan Negara Madinah," katanya. - BERNAMA

Selasa, 15 Disember 2009

Definasi!


Misteri Tembaga

TEMBAGA merupakan logam terawal digunakan oleh manusia. Di Malaysia penggunaan tembaga dipercayai bermula sejak zaman pra-sejarah.

Menurut sejarah, penggunaan tembaga dalam proses pembuatan barangan seni telah dibawa masuk oleh masyarakat Funan apabila berlaku kekacauan di negeri tersebut.

Menurut sejarah, teknik pembuatan barangan tembaga secara tuangan berasal dari Funan pada zaman Dong-Son. Apabila berlaku kekacauan di negara tersebut, satu penghijrahan telah berlaku.

Masyarakat Funan dipercayai berhijrah sehingga Tanah Melayu membawa bersama kemahiran yang ada.

Seni kerjatangan tembaga masih giat dijalankan terutama di Terengganu. Teknik pembuatan masih dikekalkan walaupun penggunaan beberapa peralatan baru diperkenalkan.

Barangan yang dihasilkan melalui teknik tuangan ini seperti tepak sireh, kaki lilin, tempat bara, pahar dan sebagainya.

Ahad, 13 Disember 2009

Promosi!


Promosi Kraftangan Disember

Rabu, 9 Disember 2009

Sabtu, 5 Disember 2009

Personaliti Minggu Ini



Bakhtiar tukang songkok asli

...gigih teruskan seni warisan sejak 34 tahun

MELIHAT kegigihan seorang warga emas menjahit songkok, timbul persoalan, apakah akan terjadi untuk tempoh 10 tahun akan datang. Siapa yang akan memastikan kesinambungan menyiapkan warisan tradisi bangsa Melayu ini, adakah akan lupus ditelan zaman?

Tidak ramai yang sanggup membabitkan diri dalam bidang pembuatan songkok, ada yang menganggapnya kerja remeh dan mendakwa tidak mempunyai masa depan berbanding bidang lain yang lebih terjamin dari segi pendapatan.

Namun, bagi Bakhtiar Mustafa yang sudah pun mencecah usia 73 tahun, itulah sumber menyara keluarga dan lebih penting, usaha itu dapat memastikan tradisi pakaian bangsa Melayu itu akan terus bertahan.

Meskipun kian dimamah usia, Bakhtiar cukup tekun dan bersemangat bekerja, matanya tetap tajam, fokus meneliti jarum dan gerak tari mesin jahit di kedai menjahit songkok di Pasar Keramat, Kuala Lumpur.

Logiknya pada usia emas begitu, tidak ramai yang masih sanggup dan mampu menjahit dengan baik kerana kerjaya sebagai pembuat songkok memerlukan penelitian cukup halus, cermat dan sering dianggap remeh.

Bagi Bakhtiar, beliau bernasib baik kerana daya penglihatan masih baik dan menjadi satu kelebihan baginya. Malah beliau cukup bersyukur dengan nikmat itu yang membolehkannya meneruskan usaha dengan sehingga ke hari ini. Jika tidak, sudah pasti punca rezekinya terjejas.

Pengalaman lebih 34 tahun mengabadikan diri dalam usaha pembuatan songkok membuatkan Bakhtiar cukup sedar jika tidak diteruskan tradisi ini, ia akan memberi petanda tidak baik yang boleh menjejaskan kesinambungan seni warisan Melayu.

“Jika berminat nak jadi pembuat songkok, kena banyak bersabar, kena tekun, teliti dan paling penting jangan mudah berputus asa. Mesti berguru dan saya sendiri ambil masa hingga tiga tahun untuk benar-benar yakin pada diri sendiri untuk hasilkan songkok untuk dijual.

“Kita menghasilkan sesuatu untuk dipakai, mestilah hasilnya selesa dipakai dan cantik dipandang. Ini budaya kita dan kita mesti jaga,” katanya.

Proses membuat songkok bermula dengan proses memotong pelan kertas yang sudah siap disulam dengan jahitan warna asas di dalam songkok, biasanya berwarna biru. Kertas pelan yang ditempah khas itu akan dipotong dua untuk dibentuk asas tepi songkok.

Potongan siap itu akan diukur mengikut saiz ditetapkan dan kebiasaannya, ukur lilit kepala orang dewasa ialah antara 21 hingga 24 inci, manakala saiz kanak-kanak adalah bawah 21 hingga 16 inci.

Bakhtiar akan memotong mengikut ukuran pembaris dan kaedah tradisional dengan menemukan kedua-dua hujung potongan itu untuk dipadankan.

“Kadang kala memang kita ukur ikut saiz tetapi mesti ukur kedua penghujung. Ini akan membantu ketepatan, boleh nampak terus sesuai atau tidak,” katanya.

Seterusnya, potongan ukur lilit kepala itu akan dijahit kemas sebanyak dua kali di sebelah dalam bagi memastikan cengkaman kuat termasuk satu daripadanya dijahit bersama kulit kecil.

Penutup songkok pula dibuat berdasarkan keperluan. Bagi songkok biasa atau standard, saiz ketinggiannya ialah 3 1/4 inci manakala bagi songkok tinggi atau lebih popular dengan gelaran songkok Johor, ketinggiannya melebihi 4 inci.

Songkok Johor itu mempunyai ketinggian permukaan atas tidak rata dan tinggi di bahagian tepi manakala songkok standard mempunyai permukaan sama rata.

Songkok yang siap dijahit akan diratakan di bahagian jahitan menggunakan sudu kecil bagi mengelakkan permukaan tidak rata akibat kesan jahitan. Proses terakhir ialah memasang baldu serta lilitan bersulam yang ditempah dari Pulau Pinang dan Sumatera Barat, Indonesia.

Bagi Bakhtiar, beliau mampu menyiapkan lima songkok sehari sekiranya menumpukan sepenuh masa dan menjelang musim perayaan, tempahan yang diterima agak tinggi.

Bagaimanapun, di hati kecilnya, timbul perasaan terkilan dan kecewa melihat ‘trend’ pemakaian songkok ketika ini yang dikatakan sangat merosot.

“Dulu ramai yang memilih songkok setiap kali menjelang musim perayaan atau dipakai ke majlis rasmi, tetapi sekarang sudah berkurangan. Jika ada pun, tempahan pelajar sekolah. Sekarang orang lebih suka guna ketayap.

“Tak apalah, mungkin trend ini akan berubah tetapi kita harus berusaha pastikan tradisi ini kekal,” katanya yang pernah menjaja di kaki lima menjual songkok pada awal pembabitannya sebelum menghasilkan songkok. - Oleh Mohd Azis Ngah (azis@bharian.com.my)

Profil

Nama: Bakhtiar Mustafa, 73,

Isteri: Syamsiah Abdul Majid, 66

Anak: 6 orang

Cucu: 16 orang

Kedai: F8 Pasar Keramat, Kuala Lumpur

Khamis, 3 Disember 2009

Info!

Skim Insentif Galakan Dagangan

Usahawan Kraf yang berminat untuk memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa atau ingin menyertai pameran perdagangan antarabangsa boleh mendapat bantuan skim insentif galakan dagangan oleh Kraftangan Malaysia.

Pelbagai aktiviti dan insentif untuk usahawan disediakan.

Antaranya aktiviti-aktiviti pameran perdagangan, pameran pengguna dan promosi bersama Kementerian serta promosi in-store anjuran Kraftangan Malaysia.

Untuk pertanyaan dan keterangan lanjut, sila berhubung dengan Puan Aididah Ibrahim di talian:

No telefon (G) : 03-2162 7459/533 sambungan 111

No telefon (DL) : 03-2161 1505

No. Faks : 03-21612249

Email : aididah@kraftangan.gov.my CLOAKING

Atau Encik Rosli Talikun/Cik Nor Farahin Nazmi Nor Azmi di sambungan 133/121.