Isnin, 30 November 2009

Apa itu?



Apa itu Songket?

Songket, lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman berzaman. Kemahiran dan kreativiti tukang tenun terserlah melalui pengolahan corak dan hasil tenunan yang indah lagi menarik.

Kedatangan pedagang-pedagang ke Tanah Melayu telah menggiatkan lagi perkembangan tenunan tempatan. Tenunan songket mula berkembang dibeberapa negeri terutama di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Di zaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang. Secara tradisi, songket ditenun dengan menggunakan benang sutera halus dan benang emas serta dipakai oleh kerabat diraja Melayu dan golongan Bangsawan.

Kini, songket ditenun dengan benang kapas dan mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk majlis-majlis tertentu.

Keanggunan kain songket, selain dijadikan sebagai pakaian tradisi untuk mempermanis dan memperaga seni budaya, ia juga turut diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk beg, bingkai gambar, hiasan dinding, kusyen dan sebagainya.

Tradisi menenun masih dapat dikekalkan tidak berubah sebagaimana seratus tahun dahulu. Alat-alat tenunan atau kek, motif dan ragamhiasnya serta cara menenun itu sendiri memperlihatkan keindahan dan kesempurnaan hasil ciptaan zaman silam yang masih segar hingga ke hari ini.

Ahad, 29 November 2009

Penghargaan!


Anugerah Negara bagi Tokoh Kraf Negara Tahun 2002

Hajah Zainab @ Ngah Bt. Mamat

(kategori Tenunan Songket)

Dilahirkan pada 22 Disember 1942 di Kampung Gelung Gajah iaitu sebuah perkampungan kecil yang terletak kira-kira 7km dari Kuala Terengganu.

Ketika itu Negara sedang di bawah jajahan tentera Jepun. Dalam keadaan yang serba kekurangan pasangan Che Mamat dan Mariam tetap menerima kehadiran puteri kedua mereka dengan penuh kesyukuran.

Kepayahan dan keperitan hidup akibat jepun rupa-rupanya menjadi pendorong kepada penduduk kampong ini untuk membina kerjaya khususnya dalam bidang tenunan.

Kemahiran menenun kain diusahakan secara serius oleh kaum wanita termasuk keluarga Mariam. Pendapatan hasil menenun ini sedikit sebanyak membantu suaminya menyara tujuh orang anak yang masih kecil.

Selepas menamatkan pendidikan pada tahun 1955, Hajah Zainab yang ketika itu berusia 13 tahun ditawarkan untuk menjadi guru dan jururawat. Harapan ibu, ayah dan keluarga ingin melihat beliau menjadi guru tidak tercapai apabila Hajah Zainab memilih bidang tenunan sebagai kerjayanya.

Minat, semangat dan kesungguhan akur dengan keputusan yang diambilnya untuk menjadikan tenunan songket sebagai mata pencarian.

Selama penglibatan dalam bidang tenunan ini, beliau banyak berurusan dan menerima bantuan daripada badan-badan yang berkaitan dengan kraftangan antaranya Kraftangan Malaysia dan Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd.

Sokongan dari mereka turut menjadi pemangkin terhadap kerjaya beliau. Bagi menghargai jasa dan sumbangan beliau pada tahun 2002 Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Tokoh Kraf Negara.

Jumaat, 27 November 2009

Kalendar Kraf!

Salam Kraf!
MULAI 29 November ini sehingga 7 Disember depan selama sembilan hari, berlangsungnya promosi Kraf Langkawi yang diadakan di Kompleks Kraf Langkawi.

Jika anda peminat barangan kraf, inilah masanya berkunjung ke Pulau Peranginan Langkawi sambil bercuti, membeli-belah sambil berjimat!
Selamat bercuti!


Khamis, 26 November 2009

Ucapan!


SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA...


Pada semua muslimin dan muslimat,semoga semua diberikan-NYA keberkatan, kerahmatan, keampunan dan kebahagiaan pada hari yang mulia ini.

Renung dan hayati semangat disebalik hari perayaan ini agar ia memberi sinar dan dorongan untuk terus berkorban apa saja demi agama,bangsa dan negara.

Selamat Hari Raya Aidil Adha dari kami staf pengurusan dan kru blogspot.com