Selasa, 29 September 2009

Unik & Jadi Pilihan Ramai




MENJELANGNYA cuti sekolah yang bermula pertengahan Novembernya ini, sudah menjadi kelaziman masa yang sesuai untuk majlis perkahwinan.
Dan antara aksesori utama yang berada dalam senarai pengantin ialah bekas bunga telur. Hari ini berbagai rekabentuk bekas bunga telur terdapat dipasaran. Jika dahulu, bunga telur diperbuat dari rotan, kertas keras seperti vanila kad, bakul kayu, dan sebagainya. Kini bekas bunga telur tampil dengan gaya anggun dan eksklusif seperti tembikar yang mempunyai bentuk dan keunikan tersendiri.
Justeru itu, Yusja Kraf tidak ketinggalan menghasilkan produk menawan ini untuk menjadi pilihan kepada pengantin sebagai cenderamata kepada tetamu. Beberapa reka bentuk dan warna disediakan dari harga serendah RM2.80 hingglah kepada RM12.50 seunit!
Dengan kos yang setimpal dengan apa yang diberikan, sudah pasti tidak menjadi masalah kepada pengantin baru, pada hari berbahagia nanti.
Semuanya, dihasilkan dari buatan tangan penduduk Negeri Perak Darul Ridzuan! Halus dan kemas yang bermutu tinggi. Maklumat lanjut dan tempahan, terus sahaja ke kios Yusja Kraf di R&& Sungai Perak, Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Selatan.
Atau hubungan telefon yang tertera di sebalah kanan. Selamat berbelanja.

Isnin, 28 September 2009

Salam Lembaran 1 Syawal

Salam sejahtera.
Minggu pertama Syawal sudahpun berlalu namun tidakterlewat untuk kami mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada pelanggan kami yang dikasihi serta muslimin dan muslimat.
Sekiranya terdapat salah dan silap ketika melayan anda, harap maaf zahir dan batin dari kami sekeluarga, Yusja Kraf.

Info tentang produk labu sayong

Lampu tidur, bekas telur antara warisan mukim Sayong diberi sentuhan baru
ASALNYA sebiji labu tua yang dikeluarkan isinya, dibersihkan untuk dijadikan bekas mengisi air. Tradisi itu kekal sebelum konsep yang sama diterjemahkan melalui hasil buatan tangan manusia menggunakan tanah liat, direka bentuk sama dengan labu asal dan digelar labu sayong.
Produk tempatan dikenali labu sayong sempena nama Mukim Sayong di Kuala Kangsar, Perak, itu pada asalnya tembikar berwarna hitam yang diangkat menjadi produk perusahaan kategori seramik.
Ada yang mengatakan warisan tradisi itu kian dilupakan dan cuma popular di sesetengah tempat. Namun itu cuma tanggapan. Hakikatnya, labu sayong yang sudah lama bertapak semakin diminati kerana penampilannya lebih cantik dan menarik seiring dengan arus permodenan.
Keindahan bentuk labu sayong ini bermula dengan pemilihan tanah liat di tebing sungai yang dijemur sebelum dibentuk dengan tangan menggunakan sudip buluh dan digilap dengan sejenis batu dikenali batu luru bagi melicinkan permukaan sebelum diasap, dibersihkan dan terhasillah labu sayong tradisional berwarna hitam berkilat.
Itu tradisi lama, tetapi kini hasil arus perubahan zaman dan permodenan, penggunaan labu sayong lebih menjurus kepada hiasan rumah serta kegunaan lain dan bukannya sekadar bekas menyimpan air.
Sebab itulah, pengusaha labu sayong juga mengubah cita rasa mengeluarkan produk seramik yang mementingkan nilai moden, sentuhan warna dan corak yang lebih menyerlah bagi menarik minat pembeli tanpa mengenepikan terus nilai tradisi iaitu bentuk asalnya.
Kebanyakan bentuk labu sayong yang dihasilkan berdasarkan motif alam sekitar seperti bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan calaran geometri yang digabungkan dengan sentuhan kreatif berasaskan nilai moden pilihan ramai.
Kini, bentuk dan kegunaan labu sayong juga mengalami anjakan baru apabila digunakan sebagai lampu tidur yang diubahsuai sedikit bentuk dan tapaknya bagi membolehkan labu dipasang wayar serta mentol lampu di dalamnya.
Memang menarik kerana ia bukan saja berfungsi sebagai perhiasan yang diletakkan di sudut bilik tidur tetapi juga mampu membantu menimbulkan suasana romantik waktu malam melalui cahaya malap mentol bervoltan rendah.
Corak, ukiran berasaskan tema tumbuhan setempat dipadankan dengan warna lembut seperti kuning air, warna asli tanah liat dan sesekali digabungkan dengan warna terang hijau daun bagi menyerlahkan hasil sentuhan pengukirnya.
Teknik pembuatan moden yang mengambil alih kaedah tradisional melalui teknik lemparan alin, teknik acuan dan teknik sepuh juga memastikan bekalan lampu tidur itu sentiasa mencukupi dan boleh dihasilkan dalam jumlah banyak pada satu-satu masa.
Saiznya juga membolehkan pembeli set lampu tidur dan hiasan mempunyai banyak pilihan mencari padanan yang sama.
Trend permintaan pelanggan masa kini memerlukan perubahan baru dalam industri itu tetapi menegaskan ia satu perkembangan yang baik ke arah mengembangkan lagi sektor berkenaan.
Dulu generasi tua yang gemar guna labu sayong, tetapi sekarang sebaliknya. Orang muda pun sukakan warisan tradisi ini tetapi mereka sukakan produk berwajah baru, jadi kena ubah ikut kehendak sekarang, lebih moden.
Pengukir corak labu khasnya lampu tidur, mereka corak rekaan bertemakan bunga dan tumbuhan. Ia diukir secara ekslusif, setiap satu lampu tidur itu mempunyai corak berlainan walaupun saiz dan warnanya sama.
Selain lampu tidur, labu sayong yang juga direka khas untuk dijadikan bekas telur sebagai cenderahati, antaranya majlis perkahwinan. Cuma, saiznya lebih kecil dan permukaan atasnya lebih hampir sama besar dengan tapak, berbeza dengan bentuk labu sayong asal.
Bekas ini dibentuk dan diukir dengan teliti menggunakan motif ukiran yang banyak menjurus kepada unsur tradisional, khususnya bunga seperti bunga tanjung, senduduk, lawang dan daun buluh.
Walau apapun perubahan bentuk dan penampilan lebih moden, bentuk asal labu sayong berwarna hitam asli tetap dikekalkan dan masih dijual, yang sering dipadankan dengan tali merah sebagai mengikat penutupnya, tanda kesinambungan warisan berzaman.

Ahad, 27 September 2009

Selamat Berkunjung

Keterangan gambar: Puan Yushaliza bangga dengan lampu tidur unik berasaskan labu hiasan
Salam sejahtera.
Inilah julung kali Yusja Kraf memiliki sebuah blog bertujuan memudahkan peminat kraftangan tempatan memesan, menempah produk untuk dijadikan hiasan deko kediaman atau pejabat anda.
Antara kios jualan yang terdapat di sini ialah Yusja Kraf di Nombor 2 Kawasan Rehat dan Rawat, Dataran Sungai Perak Arah Selatan, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Kuala Kangsar, Perak.
Barangan kraftangan yang dijual seperti labu sayong, barangan besi (golok, parang, dan sebagainya), barangan rotan dan paling menarik ialah labu hiasan yang diubahsuai menjadi lampu tidur yang unik.
Harganya tak mahal, dari RM58 hingga RM145 seunit bagi lampu tidur labu hiasan dan ia mendapat sambutan orang ramai.
Menurut pengurus muda yang mengendalikan bisnes cenderahati ini, Yushaliza binti Hj Md Yusof, apa yang menjadi daya tarikan kerana kraftangan yang dijual di sini, unik dengan rekabentuk dan harganya sangat berpatutan.
"Apa yang penting pelanggan mendapat kepuasan dalam tawar-menawar dengan barangan yang mereka hajati. Selebihnya rekabentuk yang unik seperti labu hiasan yang sesuai dijadikan lampu meja untuk ruang tamu atau bilik tidur," katanya lagi.
Sekiranya anda ingin memesan atau menempah kraftangan yang dihasilkan oleh perekabentuk dari Yusja Kraf, hubungi Ahmad Safuwan Sedi atau Yushaliza menerusi 016-5433882, 014-3043970 atau faksimili 05-7576467.
Pesan Yushaliza, sudi-sudilah berhubung dengan kami.